Wednesday, December 21, 2011

Penyakit Gout

PENYAKIT GOUT

Penyakit Gout adalah satu keadaan di mana pesakit-pesakit mengalami radang sendi (arthritis). Ianya disebabkan oleh paras asid urik yang terlalu tinggi.  Keadaan ini dikenali sebagai " hiperurisemia ".

Paras asid urik yang  tinggi dikaitkan dengan usia, berat badan yang berlebihan, penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan juga permakanan.  Kadang kala, seorang itu mewarisi penyakit gout dari keluarga mereka (genetik).

Penyakit Gout terjadi apabila kristal-kristal asid urik berkumpul di bahagian sendi, otot dan tulang, mengakibatkan radang dan sakit yang mengejut.  Biasanya bermula hanya pada satu sendi, terutamanya ibu jari kaki.  Sendi yang terjejas juga akan menjadi bengkak, merah dan sakit jika dipegang.

Rawatan awal adalah penahan sakit.  Jika sakit  yang berlebihan,  ubat penahan sakit boleh diberi dalam bentuk suntikan di bahagian sendi yang terjejas.

Rawatan jangka panjang radang sendi adalah melalui sejenis ubat iaitu " Allupurinol ".  Ia bertindak dengan mengurangkan penghasilan dan meningkatkan pembuangan asid urik yang berlebihan.

Penjagaan permakanan juga boleh mengurangkan paras asid urik.  Purin adalah sejenis protein yang menghasilkan  asid urik di dalam darah.  Oleh itu, penghidap penyakit gout perlu mengamalkan permakanan rendah purin.


ELAKKAN MEMAKAN :
  • Organ-organ haiwan seperti hati dan jantung.
  • Ikan kecil seperti ikan bilis dan sardin.
  • Bubuk, cincaluk, belacan, udang dan kerang-kerangan.
  • Minuman yang mengandungi banyak " caffeine " seperti kola dan kopi.
  • Makanan mengandungi gula yang tinggi seperti gula-gula dan coklat.

PESAKIT GOUT JUGA PATUT MENGURANGKAN :

  • Makanan yang berminyak dan berlemak seperti yang  mengandungi susu kelapa dan gula.
  • makanan yang tinggi kandungan protein seperti ikan dan daging - kurangkan kepada satu hidangan, dua kali sehari. 
  • Makanan yang mengandungi kacang seperti dhal, kacang tanah,sayur kacang, dan  produk kacang soya - kurangkan kepada sekali seminggu.



Minum air yang mencukupi, melakukan kegiatan  fizikal 
dan mengambil ubat yang bersesuaian  
boleh mengurangkan terjadinya "  hiperurisemia " dan penyakit gout.






Sumber: Terima kasih atas nasihat [Pusat Promosi Kesihatan,Kementerian Kesihatan,BSB]